legal issues
 
Monday, March 06, 2006
Perkara 121 1 (A) Perlembagaan Persekutuan
Pengenalan:

Sebelum mencapai kemerdekaan, cuma ada satu sistem mahkamah di negara kita. Ia melaksanakan undang-undang yang dibuat di sini yang berasaskan undang-undang di England di samping memakai 'the common law of England' dan 'the rules of equity'. Mahkamah syariah belum wujud.

Susulan daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai Kedua, mahkamah-mahkamah syariah ditubuhkan. Maka untuk membezakan mahkamah yang sedia ada daripada mahkamah syariah yang baru ditubuhkan itu, mahkamah yang sedia ada itu mula dipanggil 'mahkamah sivil',

Pada mulanya, bidangkuasa mahkamah syariah hanya terhad kepada undang-undang keluarga.Maka untuk beberapa dekad mahkamah sivil terus menjadi mahkamah utama.

Pindaan Perlembagaan 1988:

Pelbagai konflik telah mula kelihatan.Antaranya ialah wujudnya percanggahan bidangkuasa antara kedua-dua sistem mahkamah itu. Kes yang paling ketara ialah kes Myriam v Mohamed Ariff [1]. Dalam kes itu, hakim mahkamah sivil yang selama ini mempunyai bidangkuasa dalam hal jagaan anak, tidak kira Islam atau bukan Islam, berpendapat bahawa mahkamah sivil masih mempunyai bidangkuasa itu walaupun bidangkuasa itu, mengenai orang-orang Islam, telah diberi kepada mahkamah syariah.Disamping itu juga, Hakim-hakim mahkamah syariah dan pegawai-pegawai syariah mula merasai bahawa kedudukan mahkamah syariah adalah lebih rendah dari kedudukan mahkamah sivil, kedudukan mereka sendiri lebih rendah dari kedudukan hakim-hakim mahkamah sivil. Bidangkuasa mahkamah syariah terhad. Maka mereka mahu kedudukan yang sama, dan tidak kurang pentingnya, gaji yang sama[2].
Untuk menyelesaikan masalah-masalah ini, kerajaan telah mengambil satu inisiatif untuk menaikkan kedudukan mahkamah syariah di mana pada tahun 1988 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda di mana Per 121(1A) telah dimasukkan. Peruntukan ini berbunyi:"Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam fasal (1) tidaklah mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah".Mahkamah yang dimaksudkan dalam fasal (1) ialah Mahkamah Tinggi dan semua mahkamah di bawahnya iaitu mahkamah majistret dan mahkamah sesyen. Dengan demikian secara automatik, semua perkara yang mahkamah syariah ada bidangkuasa, Mahkamah Tinggi dan semua mahkamah di bawahnya tidak boleh campurtangan dan tiada bidangkuasa[3].

Tafsiran pindaan ini dapat dilihat dalam kes Mohamed Habibullah bin Mahmood v Faridah bte Dato Talib[4] apabila Mahkamah Agung memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tiada bidangkuasa untuk mendengar dan membicarakan suatu permohonan perintah tegahan dari seorang wanita Islam terhadap suaminya yang juga beragama Islam dari menyerang dan mengganggu beliau dan keluarganya. Kes ini menjelaskan bahawa Mahkamah sivil tiada bidangkuasa terhadap perkara-perkara di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Konflik selepas pindaan:

Memang benar pindaan diatas telah menjelaskan beberapa kekeliruan yang terjadi. Walaubagaimanapun, pindaan itu sendiri tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah yang lainnya dan telah mengakibatkan beberapa konflik terjadi.

Mari kita lihat. Pertama, dalam sesuatu kes mungkin terdapat persoalan mengenai undang-undang tanah yang merupakan undang-undang sivil dan 'common law of England' yang terletak di bawah bidangkuasa mahkamah sivil dan dalam kes yang sama terdapat juga persoalan seperti wakaf yang terletak dalam bidangkuasa mahkamah syariah.

Kedua, beberapa undang-undang baru telah dibuat di bawah enakmen-enakmen negeri dan dilaksanakan oleh mahkamah syariah mengandungi peruntukan-peruntukan kesalahan jenayah yang bertindih dengan kesalahan-kesalahan yang serupa yang telah sedia wujud dalam Kanun Kesiksaan dan Akta-Akta lain.Sebagai contoh, Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 yang digubal selepas pindaan perkara 121 1(A) memperkenalkan kesalahan baru seperti perjudian, sumbang-mahram, pelacuran dan liwat.Ini dilihat bertindih dengan kesalahan-kesalahan yang telah sedia ada didalam kanun kesiksaan. Konflik ini dapat dilihat terjadi didalam kes liwat Sukma Darmawan[5].


Ketiga,'subject matter' dalam sesuatu kes itu mungkin terletak dalam bidangkuasa mahkamah syariah, tetapi salah satu pihak yang terlibat mungkin seorang bukan Islam, sedangkan mahkamah syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap orang bukan Islam. Jadi, kemanakah pihak yang terlibat hendak pergi untuk mendapatkan keadilan?
Sebagai contoh, masalah untuk menentukan status agama seseorang atau yang melibatkan pertukaran agama dari agama Islam ke agama lain. Contoh yang terdekat ialah apa yang telah berlaku didalam kes Moorthy. “Subject Matter” di dalam kes ini terletak didalam bidangkuasa Mahkamah Syariah, tetapi pihak yang terlibat terdiri daripada bukan Islam(balu Moorthy,S. Kaliammal).

Terdapat juga kes-kes murtad (apostacy) sering dibawa ke Mahkamah Tinggi Sivil,seperti didalam kes Soon Singh Bikar Singh v PERKIM, Kedah & Anor [6] dan Mahkamah Tinggi telah acapkali mengatakan bahawa dalam hal-hal yang melibatkan kesahihan samada seseorang itu masih Islam atau pun tidak, ia adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah walaupun tiada enakmen murtad secara spesifik diluluskan oleh mana-mana Dewan Undangan Negeri. Sedangkan, di dalam kes Dalip Kaur v Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam & Anor [7] tidak menetapkan prinsip bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh memutuskan isu sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak.

Masalah juga bertambah rumit apabila kes-kes berkenaan murtad dan juga kesahihan samada seseorang itu Islam atau pun tidak, dirujuk kepada Mahkamah Syariah. Ini kerana 'in reality', Mahkamah syariah tidak pernah membuat keputusan untuk membenarkan seseorang itu keluar dari Islam atau pun mengistiharkan status seseorang itu sebagai tidak Islam. Sebagai contoh apa yang terjadi didalam kes Moorty,Dalip Kaur,Soon Singh, Lina Joy, Mamat Daud dan sebagainya. Tetapi di dalam kes Nyonya Tahir[8], buat pertama kalinya sebuah Mahkamah Syariah di Seremban telah mengistiharkan status seseorang itu sebagai tidak Islam dimana keputusan ini dibuat selepas kontroversi Moorthy berlaku.


Resolusi persidangan Meja Bulat Lim Kit Siang:
Resolution 1
Mengembalikan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan ke maksud asalnya pada tahun 1988 sebelum dipinda.
Resolution 2
Mendesak Perdana Menteri menubuhkan JK Terpilih Parlimen untuk membincangkan masalah yang ditimbulkan oleh Perkara 121 (1) (A)
Resolution 3
Masyarakat kebanyakkan merasa bimbang dan tidak berpuas hati terhadap penafian keadilan dalam kes Moorthy dan kes-kes lain seumpamanya.
Resolution 4
Forum ini merakamkan kebimbangannya terhadap sikap kebanyakkan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam perlaksanaan undag-undang Islam khasnya yang melibatkan masyarakat bukan Islam.
Resolution 5
Mendesak agar Peguam Negara bertindak demi kepentingan masyarakat ramai dalam kes Moorthy dan kes-kes seumpamanya bagi mencerminkan hak persamaan semua rakyat dengan mengambil kira nilai-nilai persamaan tanpa mengira kaum dan agama yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

MEMORANDUM DEWAN PEMUDA PAS(DPP)

DPP melahirkan kebimbangan di atas percubaan pihak-pihak tertentu yang mendesak kerajaan supaya meminda Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Mahkamah Sivil mencampuri urusan Mahkamah Syariah [9]. DPP membuat satu memorandum mendesak tindakan Suhakam terhadap usaha menafikan hak Mahkamah Syariah dengan alasan seperti di bawah:

i. Hak Mahkamah Syariah sebagai satu sistem kehakiman yang diiktiraf oleh Perlembagaan akan terpinggir sekiranya Mahkamah Sivil diberi kuasa untuk campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Syariah;
ii. Umat Islam dalam apa keadaan sekalipun mesti diberikan hak menguruskan soal-soal agama mereka dalam kerangka kehakiman sendiri, dan kehakiman Islam mestilah mempunyai taraf yang tinggi dan tidak boleh diganggu-gugat oleh mahkamah lain;
iii. Tindakan menyekat kebebasan Mahkamah Syariah boleh membangkitkan rasa tidak puas hati dan memungkinkan wujud anasir-anasir negatif bagi mengembalikan hak Mahkamah Syariah; dan
iv. Percubaan untuk menundukkan Mahkamah Syariah di bawah Mahkamah Sivil boleh mengundang krisis agama dan perkauman yang boleh menjejaskan hak-hak awam di negara ini.
SATU CADANGAN:

Kita telah lihat konflik terjadi didalam kes Moorthy, apabila 'subject matter' berada didalam bidangkuasa Mahkamah Syariah, tetapi terdapat pihak yang terlibat mungkin seorang bukan Islam dimana Mahkamah Syariah tiada bidangkuasa keatasnya. Untuk mengatasi masalah ini, kes-kes seumpama ini hendaklah dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sivil yang duduk bersama Hakim Mahkamah Syariah. Hakim Mahkamah Syariah akan menentukan isu berkenaan undang-undang Islam dan keputusannya akan binding keatas Hakim Mahkamah Sivil.Hakim Mahkamah Sivil membuat keputusan ke atas isu-isu yang lain serta kes tersebut.


[1] [1971] 1 MLJ 265
[2] [2001] 4 MLJ clxxx
[3] [2004] 3 MLJ xxxiv
[4] [1992] 2 MLJ 793
[5] Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v Ketua Pengarah Penjara Malaysia [1999] 1 MLJ 266
[6] [1999] 1 MLJ 489
[7] [1992] 1 MLJ 1
[8] “A religious court has ruled that an ethnic Malay woman raised by her Muslim grandmother died a Buddhist in a case hailed as a first in Malaysia.”(http://www.malaysiakini.com/news/46151) 4th Feb 2006.
[9] “Memorandum Mendesak Tindakan Suhakam Terhadap Usaha Menafikan Hak Mahkamah Syari”,4th Feb 2006, http://www.tranungkite.net/modules.php?name=News&file=article&sid=4397
posted by Q-KHALIFA @ 12:14 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
 
"Legal Study"

Emansipatif, Liberatif Dan Pencerahan

Issues
Archives
Objectives

- To give information on legal issues and others and To provide a room for discussion.

Co-ordinator

Ahmadgeronimo,Eekmal Ahmad(studying in Bachelor of Legal Studies(BLS) at UiTM.

Links
Templates by
Free Blogger Templates
Mesothelioma Attorney
Number of Visitors